Google
 

Sunday, March 2, 2008

Larangan Menyombong Diri

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.
Riwayat Muslim

Huraian
1. Sifat sombong dan takbur adalah ditegah oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya demi menjaga kesejahteraan hidup.
2. Kita harus melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesahan dirinya sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.
3. Islam tidak melarang umatnya daripada mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu adalah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian
Pengajaran hadith:

i) Amalan memberi sedekah disifatkan sebagai penebus dan pelupus dosa dan ia merupakan pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka. Orang yang suka bersedekah menunjukkan dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.
ii) Aspek yang terpenting dalam bersedekah ialah keikhlasan niat bahawa amalan itu adalah kerana Allah S.W.T semata-mata, tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita adalah seorang yang pemurah dan sebagainya.
iii) Tidak sewajarnya kita bersedekah kepada orang lain, sedangkan keperluan diri dan keluarga sendiri diabaikan. Oleh itu sebaik-baik cara bersedekah ialah ia dimulakan dengan orang yang di bawah tanggungan sendiri, keluarga dan sanak saudara kerana memberi kepada orang yang berhak itu adalah lebih utama.
iv) Bersedekah sesungguhnya akan memuliakan maruah seseorang sebaliknya meminta sedekah akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, bukan mengharapkan belas kasihan orang lain.

Islam Mementingkan Kasih Sayang

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.

Riwayat at-Tabrani

Huraian
1. Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim
2. Belaian dan layanan yang mesra akan melahirkan suasana yang mesra, harmoni dan tenang dalam kehidupan. Oleh itu Islam amat menekankan tentang pentingnya nilai kasih sayang dalam sistem kekeluargaan dan juga kehidupan bermasyarakat
3. Antara tumpuan (bentuk) kasih sayang itu adalah:
i. Ucapan dan kata-kata yang menggunakan perkataan yang manis dan bersopan.
ii. Melalui sentuhan yang lemah lembut.
iii. Melalui pujukan, pujian, penghargaan dan senyuman
4. Apabila ditinjau tentang kehidupan masyarakat hari ini ternyata punca perpecahan yang berlaku ialah kerana kurangnya semangat kasih sayang dalam pergaulan mereka. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat.

Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Anak-anak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.
iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.
iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:” Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)

Memberi Salam Amat Digalakkan Dalam Islam

“Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian.
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat orang yang diberi salam.
2. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang.
3. Umat Islam hendaklah sama-sama hormat menghormati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dengan memberi salam apabila bertemu walaupun terhadap kanak-kanak.


Belanjakanlah Harta Pada Jalan Kebajikan

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya sahabat-sahabat kita yang telah lalu telah pun meninggal dunia Allah tidak mengurangi martabat mereka dengan sebab cintanya kepada dunia, dan sesungguhnya kita juga memperolehi harta yang banyak, tidak ada tempat untuk menyimpannya melainkan didalam Tanah. Kalaulah tidak kerana Nabi saw. Telah melarang kita dari berdoa untuk mati, nescaya aku akan berdoa dengannya”. Kemudian kami datang kepada baginda disuatu ketika yang lain, sedang pada masa itu beliau sedang membina dinding, lalu Baginda pun bersabda, “ sesungguhnya seseorang muslim itu akan diberi pahala pada setiap perkara yang dibelanjakannya melainkan pada benda yang disimpannya dalam tanah, kerana melebihi dari keperluan”.
Riwayat al. Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Islam melarang mengumpul harta terlalu banyak untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya ia digalakkan membelanjakannya untuk kebajikan semoga mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.
2. Islam tidak melarang umatnya cintakan dunia dan mencari harta kekayaan yang banyak, asalkan harta-harta tersebut didapati dari unsur-unsur yang halal dan dibelanjakan untuk pembangunan ummah. Dan tidak hanya untuk disimpan sahaja.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa bersabar didalam menghadapi segala cubaan yang diberikan oleh Allah SWT. Serta berusaha untuk mengatasinya dari masa kesemasa.

Wasilah Meningkatkan Darjat

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat”
(Muslim)

Huraian
1. Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T itu sungguh luas. Ini terbukti dengan terdapatnya berbagai bentuk perbuatan yang dikategorikan sebagai amal ibadah serta mendapat ganjaran bonus daripada Allah.
2. Selaku manusia yang beriman peluang-peluang ini hendaklah direbut dengan penuh keimanan apalagi jika perkara-perkara itu kelihatan terlalu remeh (biasa) dan mudah.
3. Dalam setiap perbuatan niat adalah perkara yang paling penting kerana dengan inilah Allah mengukur sejauhmanakah keikhlasan hati hamba-Nya.

Islam Question and Answer