Google
 
Showing posts with label at-Tirmidzi. Show all posts
Showing posts with label at-Tirmidzi. Show all posts

Thursday, February 14, 2008

Hakikat kebijaksanaan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”
Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.

Islam Agama Yang Mudah

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Jikalau tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku menyuruh mereka bersugi ketika setiap kali sembahyang.”
Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Al-sunnah merupakan sumber penting di samping al-Quran dalam pengambilan dasar undang-undang dan petunjuk dalam beribadat.
2. Rasulullah SAW memilih perkara yang lebih mudah untuk umatnya selagi tidak menjadi suatu dosa di sisi Allah sesuai dengan sifat agama Islam itu sendiri yang berpegang pada prinsip ringan, mudah dan kurang membebankan.
3. Dalam masalah ibadat terdapat berbagai kelonggaran yang diberikan (rukhsah) bagi memberi kemudahan untuk orang yang di dalam musafir, sakit atau menghadapi kepayahan (darurat) bergantung pada situasi yang dialami. Hal ini berlaku kerana dengan kemudahan dan keringanan yang diberikan, diharapkan manusia akan terdorong ke arah kebaikan dan akhirnya dapat berpegang teguh dengan ajaran Islam.
4. Setiap hukum dan perundangan yang digariskan di dalam Islam bukanlah untuk menyulitkan manusia tetapi untuk mengawal keselamatan dan menjamin kesempurnaan hidup mereka seluruhnya.

Saturday, February 9, 2008

Tanggungjawab Sosial

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya."
Abu Daud dan at-Tirmidzi

Huraian
1. Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan.
2. Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.
3. Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.

Thursday, January 31, 2008

Beradab Ketika Minum

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai.”

(at-Tirmidzi)

Huraian
1. Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum.
2. Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambilkira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam.
3. Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu.

Islam Question and Answer