Google
 
Showing posts with label Bukhari Muslim. Show all posts
Showing posts with label Bukhari Muslim. Show all posts

Sunday, March 2, 2008

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian
Pengajaran hadith:

i) Amalan memberi sedekah disifatkan sebagai penebus dan pelupus dosa dan ia merupakan pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka. Orang yang suka bersedekah menunjukkan dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.
ii) Aspek yang terpenting dalam bersedekah ialah keikhlasan niat bahawa amalan itu adalah kerana Allah S.W.T semata-mata, tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita adalah seorang yang pemurah dan sebagainya.
iii) Tidak sewajarnya kita bersedekah kepada orang lain, sedangkan keperluan diri dan keluarga sendiri diabaikan. Oleh itu sebaik-baik cara bersedekah ialah ia dimulakan dengan orang yang di bawah tanggungan sendiri, keluarga dan sanak saudara kerana memberi kepada orang yang berhak itu adalah lebih utama.
iv) Bersedekah sesungguhnya akan memuliakan maruah seseorang sebaliknya meminta sedekah akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, bukan mengharapkan belas kasihan orang lain.

Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Anak-anak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.
iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.
iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:” Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)

Memberi Salam Amat Digalakkan Dalam Islam

“Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian.
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat orang yang diberi salam.
2. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang.
3. Umat Islam hendaklah sama-sama hormat menghormati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dengan memberi salam apabila bertemu walaupun terhadap kanak-kanak.


Fitnah terbesar

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Huraian
1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.
2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.
3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.
4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

Thursday, February 7, 2008

Kebinasaan Berlaku Tidak Mengira Sesiapa Masa Dan Tempat

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Bakal ada tentera yang akan menyerang Ka’abah, tetapi ketika mereka sampai disuatu tempat lapang, tiba-tiba ia dibinasakan semuanya , baik yang pertama hingga yang terakhir.’Aisyah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana dibinasakan semuanya, padahal disitu ada orang-orang yang tidak ikut serta, iaitu orang yang sedang dipasar dan lain-lainnya? Jawab Nabi di binasakan semua, kemudian dibangkitkan menurut niat masing-masing”.
Riwayat Bukhari Muslim

Huraian
Kebinasaan yang menimpa pada suatu daerah akan mengenai yang bersalah dan yang tidak bersalah, orang yang baik dan orang yang tidak baik, ia akan mengenai semuanya apabila kecelakaan itu berlaku.
Di suatu zaman, akan berlaku penyerangan atau pertempuran diantara golongan atau puak ditempat yang disasarkan, yang melibatkan ramai terkorban. Dan ramai yang telah cedera akibat pertempuran itu.
Perhitungan atau balasan diakhirat kelak hanya terhadap mereka yang bersalah. Bagi semua pejuang akan menerima perhitungan menurut niatnya. yang baik akan menerima balasan yang baik manakala pejuangan yang jahat akan menerima balasan kejahatannya diakhirat kelak.

Islam Question and Answer