Google
 

Sunday, March 2, 2008

Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Anak-anak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.
iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.
iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:” Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)

Memberi Salam Amat Digalakkan Dalam Islam

“Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian.
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat orang yang diberi salam.
2. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang.
3. Umat Islam hendaklah sama-sama hormat menghormati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dengan memberi salam apabila bertemu walaupun terhadap kanak-kanak.


Belanjakanlah Harta Pada Jalan Kebajikan

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya sahabat-sahabat kita yang telah lalu telah pun meninggal dunia Allah tidak mengurangi martabat mereka dengan sebab cintanya kepada dunia, dan sesungguhnya kita juga memperolehi harta yang banyak, tidak ada tempat untuk menyimpannya melainkan didalam Tanah. Kalaulah tidak kerana Nabi saw. Telah melarang kita dari berdoa untuk mati, nescaya aku akan berdoa dengannya”. Kemudian kami datang kepada baginda disuatu ketika yang lain, sedang pada masa itu beliau sedang membina dinding, lalu Baginda pun bersabda, “ sesungguhnya seseorang muslim itu akan diberi pahala pada setiap perkara yang dibelanjakannya melainkan pada benda yang disimpannya dalam tanah, kerana melebihi dari keperluan”.
Riwayat al. Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Islam melarang mengumpul harta terlalu banyak untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya ia digalakkan membelanjakannya untuk kebajikan semoga mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.
2. Islam tidak melarang umatnya cintakan dunia dan mencari harta kekayaan yang banyak, asalkan harta-harta tersebut didapati dari unsur-unsur yang halal dan dibelanjakan untuk pembangunan ummah. Dan tidak hanya untuk disimpan sahaja.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa bersabar didalam menghadapi segala cubaan yang diberikan oleh Allah SWT. Serta berusaha untuk mengatasinya dari masa kesemasa.

Wasilah Meningkatkan Darjat

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat”
(Muslim)

Huraian
1. Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T itu sungguh luas. Ini terbukti dengan terdapatnya berbagai bentuk perbuatan yang dikategorikan sebagai amal ibadah serta mendapat ganjaran bonus daripada Allah.
2. Selaku manusia yang beriman peluang-peluang ini hendaklah direbut dengan penuh keimanan apalagi jika perkara-perkara itu kelihatan terlalu remeh (biasa) dan mudah.
3. Dalam setiap perbuatan niat adalah perkara yang paling penting kerana dengan inilah Allah mengukur sejauhmanakah keikhlasan hati hamba-Nya.

Fitnah terbesar

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Huraian
1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.
2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.
3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.
4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

Tatatertib Wanita Di Dalam Masjid

Yahya bin Qaza’ah menyampaikan kepada kami, daripada Ibrahim bin Said, daripada az-Zuhri, daripada Hind binti Harith daripada Ummu Salamah katanya :”Apabila rasulullah s.a.w memberi salam, wanita-wanita bangun ketika selesai salam baginda dan baginda duduk sekejap pada tempatnya sebelum baginda bangun. Katanya:”Kami berpendapat wallahu a’laam, itu adalah bertujuan supaya wanita-wanita beredar lebih dahulu daripada lelaki.”
(Bukhari)

Huraian
Sebarang perkara yang mendatangkan fitnah, hendaklah dielakkan apalagi dalam mengerjakan ibadat solat sedangkan solat itu bertujuan mencegah kekejian dan kemungkaran. Oleh itu bagi wanita yang mengerjakan solat di masjid seboleh-bolehnya mengelak daripada sebaranga fitnah yang berpunca daripada berbagai perkara seperti bertabarruj (berdandan atau bersolek), ikhtilath (bercampurnya antara lelaki dan perempuan), memakai wangi-wangian dan lain-lain. Maka apabila selesai mengerjakan solat cepat-cepatlah pulang ke rumah dan jangan sekali-kali mendedahkan diri pada pandangan lelaki yang bukan mahram sebagaimana yang dimaksudkan di dalam hadith di atas.

Sabar Mencerminkan Keimanan

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.”
Riwayat Bukhari

Huraian
i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud al-Baqarah :156)
iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Islam Question and Answer