Google
 

Saturday, February 9, 2008

Sahih Bukhari, Volume 1, Book 2, Number 24

Narrated Ibn 'Umar:

Allah's Apostle said: "I have been ordered (by Allah) to fight against the people until they testify that none has the right to be worshipped but Allah and that Muhammad is Allah's Apostle, and offer the prayers perfectly and give the obligatory charity, so if they perform a that, then they save their lives an property from me except for Islamic laws and then their reckoning (accounts) will be done by Allah."

Bersedekah Membawa Keberkatan Dan Kemuliaan

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya”.
Riwayat Muslim

Huraian
1. Orang yang bersedekah dengan ikhlas kerana Allah Taala tidak perlu bimbang tentang kekurangan hartanya kerana Allah Taala berjanji menambahkan keberkatan ke atas hartanya itu.
2. Keampunan yang diberikan oleh Allah keatas hambanya adalah semata mata sebagai suatu kemuliaan Allah kepadanya.
3. Hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan bersifat tawadduk serta rendah diri akan diangkatkan darjatnya.
4. Islam menggalakkan umatnya sepaya rajin bersedekah. Bagi orang-orang yang kaya hendaklah membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai Allah dengan memberi sumbangan kepada golongan yang amat memerlukan.

Larangan Bunuh-membunuh Tanpa Hak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka?” Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Niat menjadi ukuran amalan atau perbuatan manusia sehingga orang yang membunuh (tanpa hak) dan terbunuh sekalipun dikira sebagai berdosa jika dia juga mempunyai niat untuk membunuh lawannya.
ii) Dosa membunuh termasuk dalam dosa-dosa besar. Ia hanya akan terhapus dengan bertaubat nasuha kepada Allah.
iii) Islam amat menghormati nilai-nilai akhlak. Dalam Islam terdapat nilai-nilai yang tidak dapat diganggu gugat dan bersifat kekal. Oleh itu jika dengan alasan kebebasan kita menganggap boleh melanggar norma-norma akhlak maka ia akan membahayakan keadaan dan seluruh umat manusia. Oleh itu al-Quran meletakkan pembunuhan terhadap manusia laksana pembunuhan terhadap seluruh umat manusia sebagaimana firman Allah maksudnya "Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana telah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia" (al-Nisa’:32)
iv) Setiap daripada kita dilarang daripada melanggar kehormatan dan martabat manusia lain dalam erti kata kita bertanggungjawab menjaga nyawa. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu kerana sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.” (al-Isra’: 33 )
v) Allah bukan sahaja mengharamkan perbuatan membunuh orang lain tetapi juga mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Lebih jauh dari itu Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri yang mana Allah memberikan jalan penyelesaiannya dengan Hukum Qisas. Oleh yang demikian peranan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan nyawa dan jiwa dalam masyarakat adalah amat penting.

Tanggungjawab Sosial

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya."
Abu Daud dan at-Tirmidzi

Huraian
1. Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan.
2. Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.
3. Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.

Thursday, February 7, 2008

Batasan Dalam Bergurau Senda

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !”
Riwayat Abu Daud

Huraian
i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.
iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

Solat Jumaat

Dari Abu al-Ja`d ad-Dhamiri, r.a, bahawa rasul s.a.w bersabda: “ sesiapa yang meninggalkan (solat Jumaat) sebanyak 3 jumaat dengan keadaan sengaja meringan-ringan dan mencuaikannya, nescaya Allah meterikan atas hatinya”.
Riwayat Abu Daud

Huraian
1. Solat Jumaat adalah hari raya mingguan bagi umat islam dan menggantikan solat zohor bagi muslimin
2. Orang yang sengaja meninggalkannya perlulah bertaubat kepada Allah agar rahmat dan hidayahNya berterusan kepada diri dan keluarga
3. Syarat wajib jumaat ialah Islam, merdeka, baligh, berakal, sihat(tiada uzur) dan tinggal menetap(bermukim) ditempatnya.

Malaikat Pencatat Selawat

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan untuk mencapai keredhaan Allah, ia akan diseru oleh Malaikat dari pintu-pintu Syurga, katanya: "Wahai Hamba Allah! Pintu ini lebih baik bagimu memasukinya! Maka sesiapa yang membanyakkan jenis sembahyang: ia tetap diseru dari pintu sembahyang, dan sesiapa yang membanyakkan jenis perjuangan: ia tetap diseru dari pintu perjuangan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis puasa: ia tetap diseru dari pintu puasa yang bernama: Rayyan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis sedekah: ia tetap diseru dari pintu sedekah." Mendengarkan yang demikian, Abu Bakar r.a berkata: "Ayah dan ibuku menjadi galang gantimu Ya Rasulullah (dalam saat kecemasan)! Tiadaklah menjadi sebarang kesusahan kepada orang yang dijemput masuk dari setiap pintu itu bahkan satu kemuliaan kepadanya, maka adakah sesiapa yang dijemput masuk dari semua pintu itu?" Nabi s.a.w menjawab: "Ia ada! Dan aku harap engkau seorang dari mereka yang berbahagia itu."
Abu Hurairah r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang mukmin akan dibalas oleh Allah S.W.T dengan ganjaran yang setimpal sekalipun amalan itu Cuma sekecil zarah.
Ii) Di hari akhirat kelak, bagi orang yang membanyakkan ‘jenis’ amal kebajikannya, para malaikat syurga akan memberikan kemuliaan dan penghormatan yang tinggi kepada mereka sehingga masing-masing berebut-rebut menjemputnya masuk melalui pintu yang dijaganya.
Iii) Sebaik-baik amal adalah yang disertai dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T bukanlah untuk menunjuk-nunjuk (riya’) dan sebagainya kerana hal ini amat dibenci oleh Allah.
iv) Di samping melakukan ibadah wajib kita juga digalakkan mempelbagaikan amalan sunat kerana yang demikian itu boleh menguatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T.

Islam Question and Answer