Google
 

Thursday, August 7, 2008

Jihad Kaum Wanita

Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”

(al-Bukhari)



Huraian
Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, terasa tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya ringan untuk melakukannya. Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.

Bimbinglah Wanita Dengan Bijak

Dari abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka apabila ia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia menanggapinya dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok ialah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah. Tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.”

(Muslim)

Jangan Benci Wanita Mukminah

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Jangan memarahi wanita mukminah. Jika kamu benci akan perangainya, nescaya ada pula yang menyenangkan daripadanya.”

(Muslim)

Sunday, March 23, 2008

Pemimpin Jangan Mementingkan Diri Sendiri

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? “Baginda s.a.w. menjawab, “ hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Setiap tanggungjawab yang telah ditugaskan kepada seseorang hendaklah dilaksanakan sebaik-baiknya.
2. Apabila terdapat dikalangan pemimpin yang menyeleweng daripada garis kebenaran, sebagai rakyat mreka hendaklah berusaha menegur supaya pemimpin tersebut kembali ke pangkal jalan disamping memohon doa kepada Allah S.W.T.
3. Adalah tidak wajar bagi rakyat atau orang bawahan terus menunjukkan sikap penentangan tanpa mengemukakan sebarang pandangan, teguran dan fikiran yang berfaedah terlebih dahulu.
4. Semua pihak hendaklah sentiasa berusaha supaya jurang pemisah antara pemerintah dan rakyat sentiasa harmoni, tidak berlaku sebarang keretakan dan kekurangan.

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”
(Muslim)

Huraian
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Jalan Ke Syurga

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.”
(Muslim)

Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Sunday, March 2, 2008

Kesabaran Allah S.w.t

Dari Abdullah bin Qais r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah S.W.T. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta.”
(Muslim)

Huraian
Nikmat Allah S.W.T maha luas dan tiada sesiapapun dapat menyekatnya. Allah juga Maha Sabar dalam setiap urusan-Nya. Manusia yang dijadikan oleh Allah adalah makhluk yang diamanahkan untuk menggunakan nikmat yang diperolehi itu untuk keperluan mendekatkan diri kepada-Nya. Namun begitu ada juga golongan manusia yang menggunakan nikmat Allah tetapi dalam masa yang sama mereka semakin jauh daripada Allah S.W.T. Hal ini terjadi kerana hati mereka telah mati lantaran nikmat itu diguna atau disalurkan kepada perkara-perkara mungkar termasuklah golongan yang syirik atau kafir yang seolah-olah nikmat itu tidak disedari oleh mereka dan akhirnya menjadikan mereka semakin sesat dan melupakan Allah. Bagi orang yang kufur tetapi mendapat keistimewaan atau nikmat yang lebih ini mereka dikatakan mendapat istidraj iaitu pemberian nikmat Allah yang besar tetapi pemberian itu tidak diredhai-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (at-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi) Manusia yang mendapat istidraj adalah manusia yang lupa daratan. Maka apakah ertinya hidup ini jika mendapat seribu macam nikmat seperti kaya, berkuasa dan sebagainya tetapi sama sekali tidak diberkati malah dibenci oleh Allah S.W.T. Sepatutnya orang-orang yang kaya dengan berbagai nikmat hendaklah mengunakan nikmat Allah itu untuk kebajikan dan mengabdikan diri kepada Allah agar hidup mereka diredhai Allah bahkan itulah sifat makhluk yang benar-benar bersyukur.

Islam Question and Answer