Google
 

Sunday, March 23, 2008

Pemimpin Jangan Mementingkan Diri Sendiri

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? “Baginda s.a.w. menjawab, “ hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Setiap tanggungjawab yang telah ditugaskan kepada seseorang hendaklah dilaksanakan sebaik-baiknya.
2. Apabila terdapat dikalangan pemimpin yang menyeleweng daripada garis kebenaran, sebagai rakyat mreka hendaklah berusaha menegur supaya pemimpin tersebut kembali ke pangkal jalan disamping memohon doa kepada Allah S.W.T.
3. Adalah tidak wajar bagi rakyat atau orang bawahan terus menunjukkan sikap penentangan tanpa mengemukakan sebarang pandangan, teguran dan fikiran yang berfaedah terlebih dahulu.
4. Semua pihak hendaklah sentiasa berusaha supaya jurang pemisah antara pemerintah dan rakyat sentiasa harmoni, tidak berlaku sebarang keretakan dan kekurangan.

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”
(Muslim)

Huraian
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Jalan Ke Syurga

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.”
(Muslim)

Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Islam Question and Answer