Google
 

Tuesday, February 5, 2008

Senyuman Suatu Sedekah

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.”
(Ahmad)

Huraian
1. Makruf adalah segala perkara yang diketahui umum tentang kebaikannya sama ada dari segi syarak atau dari segi adat (yang tidak bercanggah dengan syarak). Manakala perkara yang mungkar pula adalah sebaliknya.
2. Setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi semasa berhubung dengan orang lain kerana hal ini juga dianggap sebagai satu sedekah.


Besar Dan Yang Lebih Besar Ganjarannya

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu”
(Muslim)

Huraian
1. Bersusah payah memberi kesenangan kepada isteri dan berkorban mencari nafkah untuk anak-anak akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah S.W.T. Bahkan dikira suatu dosa besar sekiranya seorang suami atau ketua keluarga itu enggan memberi nafkah dan bakhil terhadap isteri dan anak-anaknya sedangkan ia mampu berbuat demikian.
2. Nafkah adalah lebih daripada hanya peruntukan makanan bahkan yang dimaksudkan dengan nafkah adalah memberikan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pendidikan dan perkara-perkara yang munasabah bagi kehidupan seseorang anggota keluarga.
3. Keluarga yang bahagia akan terbentuk sekiranya setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing. Keberkatan jua akan melimpah sekiranya setiap tanggungjawab itu dilakukan dengan mengambilkira kedudukan halal dan haramnya. Tidak semata-mata ingin mengecap kesenangan dengan jalan yang mudah sehingga akhirnya membawa padah kepada keluarga dan merosakkan rumahtangga.

Khusyuk Yang Terganggu

Diriwayatkan dari Aisyah katanya:”Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, nabi berkata:”Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku.”
(al-Bukhari)

Huraian
Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang ada gambar (bergambar). Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu. Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta'ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta'ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.

Catatan Amal Hingga hari Akhirat

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucapkan sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."
Ammaar bin Yasir r.a

Islam Question and Answer